Friday, August 5, 2011

'Boncengan Gratis' dalam dunia akademik Malaysia

Salam,

Semalam saya jumpa supervisor, ada berbincang tentang publication yang saya kena tulis dalam masa terdekat. Saya kemudian ada bertanya dia tentang satu perkara yang saya musykil.

Tentang siapa yang akan di masukkan nama sebagai senarai authors? Supervisor saya kata, siapa yang menyumbang menulis saja. Kalau co-supervisor pun, jika dia tidak menyumbang, namanya tidak boleh masuk.

Hemm...ini menarik...sebab selama bertahun-tahun saya terlibat dengan dunia akademik dan publication di Malaysia, ada kala memang sangat menyakitkan hati! Pernah satu ketika dulu di Malaysia, saya di minta memasukkan satu nama yang saya tidak pernah kenal dalam senarai authors, atas alasan kerana saya menggunakan 'tempat dia' untuk study saya, dan individu itu 'orang besar' di situ......aduh! Saya sedikit terkilan, beginikah cara orang-orang tertentu naik pangkat? Dari segi etika memang dah salah, dari segi kejujuran, tentu juga, tapi yang penting di sisi Allah SWT....bagaimanakah kedudukannya?


Saya terbaca satu artikel menarik hari ni. Saya nak kongsi di sini bersama rakan-rakan senasib.Sesungguhnya apa yang di tulis dalam artikel ini memang sedang berleluasa di Malaysia, dan saya pasti ramai pelajar-pelajar yang sedang membuat master dan PhD juga pernah mengalaminya. Tetapi saya ringkaskan dari artikel asal kerana ianya terlalu panjang (mungkin penulis sangat tidak puas hati!).

Sindrom 'boncengan gratis' dalam dunia akademik

(Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia)
PADA 6 hingga 8 Julai ini, Majlis Profesor Negara buat pertama kalinya akan mengadakan Kongres bagi membincangkan kaedah mentransformasikan negara. Jika kesemua profesor di Malaysia hadir, jumlahnya adalah sekitar 1,600 orang, dijangka akan membincangkan isu-isu menarik dengan analisis mendalam.

Salah satu masalah yang jelas semakin berleluasa dalam dunia akademik di Malaysia sekarang tetapi tidak begitu menarik perhatian sebahagian besar orang akademik ialah masalah yang saya panggil boncengan gratis (free-riderism).

Boncengan di sini bermaksud menumpang, manakala gratis bermaksud percuma. Boncengan gratis oleh itu bermaksud menumpang dengan percuma. Secara lebih khusus, ia bermaksud menumpangkan nama dalam sesuatu hasil kerja akademik, terutamanya dalam penyelidikan dan penerbitan tanpa 'membayarnya' dengan apa-apa sumbangan yang sewajarnya.

Misalnya seseorang akademik meletakkan namanya dalam satu hasil dokumentasi penyelidikan, atau dalam satu penulisan, atau dalam satu penerbitan, walau pun sebenarnya beliau tidak menyumbang apa-apa.
Kalau pun mereka dikatakan menyumbang, sumbangannya itu hanyalah dalam bentuk routine performance, umpamanya dengan hanya sedikit sebanyak mengumpul data, atau hanya dengan memberi idea, atau hanya dengan menyunting, atau hanya dengan menguruskan pentadbiran, atau hanya dengan menguruskan hal-ehwal yang tidak melibatkan penulisan. Sumbangan sedemikian tidak cukup untuk melayakkan seseorang akademik meletakkan namanya dalam sesebuah hasil dokumentasi atau penerbitan akademik. 

Konvension kepengarangan menetapkan sekurang-kurangnya tujuh syarat bagi melayakkan seseorang itu meletakkan namanya dalam hasil dokumentasi atau penerbitan akademik tersebut.

Pertama, kesemua mereka perlu terlibat secara aktif dalam menjana keaslian idea penulisan tersebut. 
Kedua, mereka perlu terlibat secara aktif dalam membina reka bentuk dan penulisannya.
Ketiga, mereka perlu bertanggungjawab dalam pengamatan dan pengumpulan data. 
Keempat, mereka perlu memainkan peranan kepimpinan mengikut kapasiti masing-masing dalam pelaksanaan kajian yang dijadikan asas penulisan tersebut.
Kelima, mereka perlu terlibat sepenuhnya dalam proses menulis dengan bukan sahaja menulis draf manuskrip tetapi juga mengulang kaji dan menyemak manuskrip tersebut.
Keenam, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas manuskrip akhir.
Ketujuh, mereka perlu mampu mempertahankan penerbitan tersebut mengikut disiplin profesional masing-masing.

Tetapi, cuba lihat contoh-contoh yang benar-benar terjadi.

Pertama, seorang pelajar PhD mengadu kepada saya bahawa penyelia bersamanya tiba-tiba meminta beliau memasukkan nama penyelia bersama tersebut dalam kertas kerja yang akan dibentangkannya di satu persidangan di Langkawi.
Pelajar tersebut terkejut besar kerana penyelia bersama itu sedikit pun tidak mengetahui sebelumnya tentang kertas kerja tersebut, apatah lagi menyumbang apa-apa, sedangkan penyelia utamanya walau pun banyak memberi idea dan membimbingnya, tidak pernah pula meminta beliau melakukan demikian.
Apabila hal ini disuarakan, penyelia bersama itu memberi jawapan yang sangat mudah. Katanya, penyelia utamanya sudah menjadi profesor, sedangkan beliau sedang berusaha mengumpul poin untuk memohon jawatan profesor.

Kedua, seorang yang berhasrat menjadi profesor menceritakan kepada saya bahawa beliau sedang merancang untuk memohon jawatan profesor apabila pelajar-pelajar siswazahnya menghasilkan beberapa penulisan lagi. Dengan gembira beliau menyatakan bahawa terdapat pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik dalam penulisan.
Dalam jangka masa terdekat, beliau yakin beliau sudah cukup bahan tulisannya untuk memohon jawatan profesor tersebut. Saya kehairanan kenapa pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik, tetapi tanpa segan silu beliau pula yang merasakan layak memohon jawatan profesor.
Jawapannya senang. Dalam penulisan pelajar-pelajarnya itu, beliau akan menaruhkan namanya sekali dan mendapat kredit sewajarnya.

Ketiga, seorang teman mengadu kepada saya bahawa kawannya yang sama-sama membuat penyelidikan dan kemudian sama-sama menulis sebuah artikel akademik, tiba-tiba meletakkan nama suaminya sebagai salah seorang daripada penulis artikel tersebut. Bila ditanya kenapa, kawan itu berterus terang mengatakan untuk menolong suaminya agar sama-sama mengumpul kelayakan untuk kenaikan pangkat.
Teman saya itu akhirnya memberi dua pilihan, sama ada tidak memasukkan nama suaminya, atau memasukkan nama suaminya tetapi membuang namanya. Saya kurang pasti pilihan mana yang dipilih. Yang jelas kemudiannya, hubungan peribadi antara mereka sudah terjejas.

Keempat, seorang pensyarah muda yang baru menyelesaikan PhD bertanya kepada saya dalam satu bengkel penulisan, apakah betul bahawa hak cipta tesisnya adalah hak cipta penyelianya. Pensyarah muda tersebut menceritakan bahawa penyelianyalah yang mengatakan demikian. Penyelia tersebut memberi peringatan agar mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu apabila mahu menulis berkaitan tesis tersebut . Kemudian, dalam apa jua penulisan yang dihasilkan pensyarah muda ini, nama penyelia tersebut mestilah dicatatkan.

Kelima, para pensyarah sebuah universiti yang agak baru, dalam satu wacana penulisan menyifatkan saya sebagai mempunyai pendirian yang berbeza kerana tidak bersetuju dengan boncengan gratis, sedangkan ramai ahli akademik yang datang ke universiti tersebut menasihatkan mereka menggunakan bahan dan penulisan pelajar sebaik mungkin untuk meletakkan nama mereka bersama.
Mereka cukup gusar dengan pendirian saya, sehingga memohon pendapat sama ada berdosa atau tidak jika melakukan sebagaimana saranan ahli-ahli akademik lain itu.
Salah seorang daripada mereka cukup sayang dan terhutang budi kepada bekas penyelia PhDnya, hingga beliau merasakan dalam apa jua tulisannya, beliau harus meletakkan nama penyelianya bersama, walau pun tidak semestinya diketahui oleh penyelia tersebut.

Keenam, pernah dalam satu persidangan antarabangsa yang kami anjurkan tahun lepas, seorang pensyarah agak gelabah kerana teman-temannya tidak datang sedangkan nama mereka tercatat sebagai ahli kumpulan yang menulis kertas kerja bersamanya.
Kumpulan dengan ahli-ahlinya yang sama ini telah cuba membentangkan tiga kertas kerja, dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja.
Pensyarah tersebut gelabah kerana beliau hanya mengetahui tentang kertas kerja yang beliau menjadi penulis pertama sahaja, sedangkan kertas kerja kedua dan ketiga tidak begitu diketahuinya walau pun namanya diletakkan sebagai penulis dalam kedua-dua kertas kerja tersebut.
Puncanya kerana yang benar-benar menulis kertas kerja tersebut ialah penulis pertamanya sahaja, sedangkan ahli-ahli yang lain hanyalah menumpangkan namanya, hanya kerana mereka adalah ahli-ahli kumpulan penyelidikan yang sama.

Ketujuh, dalam satu persidangan di Australia beberapa tahun yang lepas, ada seorang pensyarah Malaysia yang membentangkan kertaskerja pada hari pertama, manakala penulis bersamanya belum tiba lagi dari Malaysia. Namun begitu, walaupun penulis bersama ini tiba keesokannya, beliau tidak hadir ke persidangan tersebut.
Sepanjang persidangan itu berlangsung hingga ke hari akhirnya, beliau sememangnya tidak hadir langsung. Saya mendapat tahu dari teman-temannya bahawa ketika Persidangan berehat selama satu hari, beliau bersama teman-temannya berjalan-jalan melihat Australia.

Begitulah antara isi-isi artikel tersebut. Antara ketujuh-tujuh situasi itu, saya sendiri pernah mengalami tiga dari antaranya. Saya pernah juga menangis kerana ini, kerana kecil hati. Saya tahu, walau ada orang kata, apalah sangat, cuma publication, itu pun nak sedih, tapi pada saya, bukan nama yang kita kejar sebenarnya, tapi saya berpegang pada etika, kejujuran, pandangan di sisi Allah, DAN yang paling penting, kalau naik pangkat tetapi bukan sebenarnya kita layak untuk naik, adakah di sisi Allah rezeki kita itu HALAL?? Wallahua'lam....moga situasi ini akan berubah satu hari nanti.......

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...