Sunday, March 20, 2011

Jaulah ke Byron Bay NSW merungkai keindahan alam ciptaan Allah

Assalamualaikum,
Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, yang menciptakan langit dan bumi dan segala isi di dalamnya. 
Hari ini, tidak kemana-mana, cuma pagi-pagi hari selepas siap menghantar anak-anak ke kelas KAFA dan hafazan Quran, saya dan suami ke Inala untuk membeli sedikit keperluan dapur, termasuk ayam dan daging, untuk stok simpanan 2 minggu lebih kurang, kerana kami ke sana cuma 2 kali saja sebulan.

Semalam, Sabtu, kami sekeluarga bersama keluarga sahabat kami yang tinggal di Logan, QLD, berjaulah ke Byron Bay, New South Wales, jauh letaknya lebih kurang 150 km dari Brisbane. Kami bertolak pagi, dalam pukul 7 pagi.

Sebelum ke Byron Bay, singgah dulu di Tweed Heads; sebuah tempat yang letaknya sempadan Queensland dan NSW. SubhanAllah, cantiknya tempat ni...terpegun saya. Dalam cuaca yang sejuk bersama hujan renyai-renyai, itu tidak menghalang kami singgah di situ, makan pagi, dan anak-anak sempat berlari-lari bermain sambil melihat keindahan alam ini.





Seterusnya, perjalanan di teruskan ke Byron Bay, dalam 52km ke selatan dari Tweed Heads. Sepanjang perjalanan ke selatan, saya terpegun, kagum. Betapa Allah Maha Kuasa, selepas masuk saja ke dalam negeri NSW, suasana kiri kanan sungguh berbeza. Sepanjang jalan, kami lihat keindahan padang rumput, dan kelihatan binatang-binatang ternak yang sedang khusyuk mencari makanan bertebaran di padang.

Oleh kerana saya yang memandu semasa itu (kerana suami sudah mengantuk), maka sedikit terbatas juga penghayatan dan pemerhatian saya, tapi saya masih boleh meneliti serba sedikit sambil memandu. Cuma yang ralatnya, tidak berpeluang mengambil gambar. Terasa rugi sangat.

Lebih kurang satu jam perjalanan, sampai kami di Byron Bay. Tujuan kami bukan hendak singgah di pekan Byron Bay, tapi kami mahu menuju ke Cape Byron, yang mana terletaknya 'light house' di atas sebuah bukit, menghadap ke laut yang luas. Apa yang istimewanya di sini ialah kerana, inilah tempat yang paling TIMUR di Australia! (The most easterly part in Australia). Laut terbentang luas di hadapan kami, membuatkan diri terasa sangat kerdil. Dan keindahan alam di situ, sukar saya bayangkan dengan kata-kata. Lihat gambar sajalah disini..:)

Dan anak saya yang paling kecil, siap minta supaya satu gambar nya di 'print'..
Wassalam











No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...