Sunday, March 6, 2011

Nilai-nilai Islam itu ada, tetapi sayang hidayah belum bersama mereka saat ini!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, diri ini masih di beri peluang untuk meneruskan kehidupan, dan menghirup udara segar di bumiMu ini Ya Allah. Syukur! Dan sesungguhnya, semoga kita terus istiqamah dalam perjuangan Islam dan istiqamah memohon keampunan Allah atas segala kekhilafan yang telah di lakukan. Wallahua'lam.

Sesungguhnya, benarlah kata ulamak, makin jauh perjalanan makin luas pandangan, makin banyak yang kita pelajari dan makin banyak yang boleh di ambil pengajaran dan iktibar. 

Sebagai muslim sejak azali, sungguh, saya mengaku bahawa banyak yang saya pelajari nilai-nilai keislaman itu, dari tempat-tempat yang umat Islamnya adalah minoriti. Saya tidak maksudkan bahawa saya tidak belajar apapun dari negara tempat kelahiran, tetapi berada di dalam kelompok sendiri, membuat kita rasa sangat selesa, dan kadang kala, atau selalunya kita mudah lalai dan alpa apa tujuan kita berada di bumi Allah ini. 

Malah sedikit pula penghayatan Islam itu yang kita sedar. Ada ketikanya, kita rasa kita sudah cukup bagus sebagai seorang muslim; mungkin kerana masyarakat kita juga lebih kurang dengan kita. Tetapi sebenarnya masih terlalu banyak kekurangan yang kita tidak sedar atau mungkin sedar, tetapi di perlekehkan kerana budaya dan masyarakat yang tidak ambil kisah.

Semenjak saya di sini, terlalu banyak yang saya pelajari dari cara dan budaya kehidupan masyarakat Brisbane ini ( kami panggil mereka OZ). Mereka bukan muslim, tetapi banyak nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan urusan seharian mereka. Abaikan hal-hal kehidupan sosial mereka yang kita tidak boleh ikut, tetapi ada yang selayaknya kita ikuti itu, kita kena ambil, bawa balik ke tempat kita.

Minggu-minggu pertama saya jejakkan kaki ke sini, saya perhatikan banyak hal. Contoh mudah saja, tetapi amat terkesan, kalau naik bas, mereka mesti hormati pemandu bas, ucapan seperti 'Hi', 'How are you going today?' itu perkara biasa saja. Dan kalau sudah turun bas, mesti juga mengucapkan 'thank you' pada pemandu. Kalau tak di lakukan, alamat memang sah kena cop 'kurang ajar!' Tapi kalau di tempat sendiri, saya jarang-jarang atau hampir tidak ada ada, mendengarkan ucapan-ucapan sedemikian, malah mengutuk lagi ada. Tetapi, pemandu bas di sini juga sangat polite, dan agak berbeza dengan pemandu di tempat asal saya yang selalunya agak 'kasar' dalam berbahasa. 

Ucapan-ucapan ini bukan saja di dalam bas, tetapi di mana-mana saja. Di setiap kaunter supermarket, kaunter kerajaan, kaunter stesen minyak dan semuanya! Kalau saya silap maaflah, tetapi kalau di tempat asal saya, rasanya kalau berurusan di kaunter-kaunter utama kerajaan, atau pejabat pos, atau di supermarket (terutamanya)...atau di mana-mana saja, rasa saya, hampir saya tidak ingat ada atau tidak ucapan manis begini, apalagi sepatutnya kita sebagai Muslim, sepatutnya 'Assalamualaikum' itu menjadi sangat cair di mulut! Kalau dapat senyuman itu sudah kira bagus!


Tidak berniat sedikit mengutuk masyarakat sendiri tetapi saya rasa perlu ambil pengajaran, supaya kita sebagai Muslim dapat memperbaiki diri. Malu rasanya kalau-kalau di katakan, 'Oh, Is this how Muslim community greet people?'....lebih malu kalau kita dikatakan masyarakat yang sombong!

Friday, March 4, 2011

Yang di rindui akhirnya muncul, Alhamdulillah!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, masih di beri keizinan oleh Allah untuk meneruskan jari-jemari ini mencoret serba sedikit kisah hidup kami di rantau orang. Autumn baru saja bermula, hari ini dah 4 hari lah kira-kiranya. Dua hari lepas, walau musim luruh, cuaca masih sangat panas, tetapi hari ini saya kira sejuk sedikit dari sebelumnya, dalam 20-21 degree. Nyaman, dan hujan pula, maka semakin nyaman lah. Alhamdulillah.



Semester 1/2011 baru bermula. Adik-adik undergraduates yang baru, dan yang lama sudah mula mendaftar, dan masing-masing kini sibuk mencari rumah sewa. Semenjak banjir Januari lepas, agak sukar sebenarnya mendapatkan rumah sewa, lebih-lebih lagi kalau dekat dengan University, sebab banyak rumah yang sudah tenggelam banjir. Di sini, kalau sudah tenggelam, biasanya tuan rumah tidak izinkan duduk sehingga segala kerosakan sudah siap di baiki. Jadi ramai lah yang terpaksa berpindah. 

Suasana campus meriah semula, saya suka! Minggu sebelumnya, ada orientasi, dan ada pelbagai gerai di buka dalam campus UQ. Saya sempat juga singgah ke gerai Muslim Students Association-UQ (MSA-UQ), dan sempat juga ke gerai pelajar Indonesia, yang menjual pelbagai masakan dari negara asal itu. Sedap, dan yang paling saya suka, 'Pisang Goreng kering' - saya translate dari "Dried fried banana"...betul ke tidak? Ntah lah, tapi yang pasti, memang sedap. Rugi betul belinya satu paket saja, sekarang tak tau mana nak cari lagi....nampak gaya kena tanya sahabat saya dari Indonesia kalau dia tahu.

Thursday, February 17, 2011

Bersyukurlah kita adalah muslim!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dua hari lepas penuh dengan keletihan, di tambah lagi dengan diarrhea, memang sangat melemahkan diri, tapi hari ni, saya boleh gagahkan diri untuk pergi ke school. Ada RHD Day hari ni, dan semasa di sana, banyak tips yang diperolehi, dari bagaimana nak mula thesis, mencari data, menulis thesis, malah cara nak menyusun masa sebagai pelajar PhD dan juga bagaimana nak menangani ketidakcukupan waktu...

Oleh kerana waktu mendaftar tersangat awal; 8.20 am di school, dan bas pertama di depan rumah 7.34 am, dan saya harus berkejar untuk bas kedua di St Lucia pada pukul 8.00 am. Tapi, tak ada rezeki kami hari, saya dan seorang sahabat terpaksa menapak ke tempat menunggu bas yang agak jauh kerana sudah terlepas yang pagi, dan sampai di situ, juga terlepas bas 7.44 am, maka terpaksa kami menaiki bas 7.55 am. Dah sah memang tak sempat dengan bas kedua. 

Sampai di St Lucia, kami menapak lagi ke Woolloonggaba, agak jauh (25 minit perjalanan dengan kaki). Dan saya yang masih tak berapa sihat, terasa berpinar-pinar, tapi gagahkan juga kaki menapak. Alhamdulillah, sampai juga kami, walau terlewat 10 minit, dan program dah bermula tepat jam 8.20 am tadi. Mat saleh ni memang tepat waktu, kalau kata 8.20 am, maka waktu itulah, tak ada cepat dan lambat. Terasa malu juga sebab masuk ke dewan lambat 10 minit, tapi buat tebal muka.

Wednesday, February 16, 2011

"Ketika Cinta Bertasbih"

Assalamualaikum,

SubhanAllah...rasanya dah lama sangat saya tak menyempatkan diri menulis blog. Semenjak beberapa minggu lepas, banyak masa yang saya gunakan untuk menulis 'confirmation report', memandangkan dah dekat benar waktu untuk confirmation saya. Gementar, berdebar, resah dan pelbagai rasa ada.

Tambahan lagi, semenjak suami mula masuk kelas di UQ January lepas, terasa sedikit patah tangan dan kaki. Selalu suami ada di rumah sepanjang masa, tapi sekarang suami dah sibuk dengan kelasnya, saya sedikit kelam kabut. Tapi tak apa sebenarnya, bila kekurangan dan kesempitan masa tu, tahu pulak saya mencari masa, sebaliknya kalau ada banyak masa, keinginan membuang masa itu sangat tinggi. 

Beberapa hari yang lepas, dalam keadaan sedikit tertekan menulis report/thesis, saya sempat melayan satu cerita di youtube. "Ketika Cinta Bertasbih, Special Ramadhan". Sebenarnya cerita ini adalah sambungan dari filem KCB1 dan KCB2. kedua-duanya saya dah tengok beberapa kali. Tak pernah jemu menonton filem ni.


Bila dah terjumpa pula yang bersiri, semuanya 56 series, apa lagi, melonjak-lonjak keinginan hati nak tengok, padahal sebenarnya masa tu sempit benar, tapi sebab berkeinginan sangat nak tahu tentang kesinambungan kisah mereka, saya tengok juga. Mencuri-curi masa di antara waktu menulis. Semangat betul!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...