Friday, March 18, 2011

Kisah isteri yang setia tetapi suami bersikap acuh tak acuh.

Assalamualaikum...

Penat baru pulang dari school. Tiba-tiba sahaja kepala terasa sakit, migrain lagi agaknya. Baru saya teringat yang saya lupa nak breakfast pagi tadi, cuma minum air. Agak saya, ini kes 'hypoglisemia' atau kekurangan gula dalam darah. kalau ini berlaku, memang akan mengakibat sakit kepala, dan dalam kes-kes yang berat, migrain jadi penyudahnya.

Setelah makan 2 biji panadol, kepala terasa ringan sedikit. Dan tiba-tiba terasa hendak berkongsi kisah benar yang saya dapat dari satu sumber beberapa ketika dulu.

Kisah seorang isteri, muslimat yang baik, setia pada suami. Hakikatnya semenjak pernikahan dan setelah mempunyai beberapa cahaya mata, isteri itu tidak pernah terfikir untuk berlaku curang atau berlaku onar pada suaminya. 

Tapi seorang isteri yang muslimah, solehah, tetap seorang wanita. Seorang wanita yang pada dasarnya ingin di sayangi dan dibelai oleh suami, dan mengharapkan suami yang menyayanginya setulus hati. Walau independent bagaimana sekalipun isteri itu, dia tetap seorang wanita. Seorang wanita itu memerlukan seorang lelaki yang menjadi teman hidup yang boleh menjaganya dan melindunginya. Juga menjadi temannya ketika suka dan dukanya, malah mengingatinya jika dia terlalai atau alpa.

Ramai lelaki, apabila hendak berkahwin, mencari calon isteri yang solehah, ala-ala berakhlak seperti isteri  Rasulullah, atau seperti Fatimah, sedangkan lelaki kadang-kadang terlupa, adakah mereka sanggup mengikut sunnah, bagaimana Rasullullah menjaga keluarganya, isteri-isterinya, anak-anaknya, atau sanggup menjadi seperti Ali yang begitu menyayangi Fatimah? Adakah seorang lelaki muslim terfikir dan berniat untuk mengikut akhlak Rasullullah dalam kehidupan rumah tangga? 


Kalau sebelum menikah, hakikatnya, mungkin akan ada yang kata, InshaAllah, saya sudah siap, sudah bersedia...Alhamdulillah...lega bakal isteri mendengarnya.....

Tetapi, setelah menikah, bagaimana? Terlupa atau 'take for granted'? Adakah kerana si wanita sudah menjadi hak milik, maka tidak perlu lagi berusaha untuk menunjukkan kasih sayang atau bersikap ikhlas terhadap dia? Atau beralasan kasih sayang tidak perlu diungkap, ditunjuk, kerana "saya memang sayang pada isteri saya"?

Berbalik semula kepada kisah saya tadi, iya, sebagai wanita, isteri, ibu...saya sangat mudah tersentuh sebenarnya dengan kisah-kisah begini. Setelah menikahi wanita itu selama beberapa tahun, si suami, iya, memang pada dasarnya baik, jujur, bertanggungjawab. kalau dilihat secara kasar, memang dia adalah seorang suami yang sangat bertanggungjawab. Dan itu juga di akui oleh si isteri.

Bak kata, sukar hendak mencari suami yang sanggup membantu kerja-kerja rumah termasuk menjaga anak-anak. Tetapi, dalam pada itu, si suami lupa sesuatu perkara. Oleh kerana sudah lama menikah agaknya, si suami yang romantik masa mula-mula menikah dulu, sudah tiada. Yang ada kini, suami yang bersikap acuh tidak acuh pada isteri, yang bersikap ala kadar saja, dan kadang-kadang terlupa juga hendak berkomunikasi dengan isteri. kalau berkomunikasi pun, lebih kepada hal-hal yang 'skima' macam boss bercakap dengan pekerja saja layaknya!

Si suami secara dasarnya kuat bekerja, banyak berfikir, maka merasakan tidak ada masa untuk hal-hal lain, atau terlupa bahawa kasih sayang itu perlu sentiasa di bajai, seperti pokok, kerana kalau tidak di bajai, ia akan layu dan mungkin juga akan mati suatu hari nanti. Saya pernah terbaca dalam satu artikel, ramai suami yang setelah menikahi seorang wanita, merasakan kasih sayang tidak perlu di tunjuk-tunjuk lagi, kerana wanita itu sudah menjadi miliknya. Dan pada pendapatnya, si isteri tidak kisah, maka keadaan terus berlanjutan, dan yang makan hati adalah isteri. Si suami pula, tidak rasa apa-apa, tidak ada apa-apa bahaya kerana wanita itu isteriku!

Berbalik kepada isteri tadi yang saya ceritakan, dia cuba sedaya upaya untuk menyatakan kasih sayang kepada suami, cuba berbaik sangka sehebat mungkin, cuba untuk membaiki perhubungan mereka. Tetapi si suami masih dengan sikap acuh tidak acuhnya itu. Si isteri kecewa, sangat kecewa, tetapi tidak putus-putus memohon doa kepada Allah semoga Allah menyelamatkan rumah tangga mereka dari tersungkur, kerana kesabaran itu ada batasnya.

Yang menjadi masalahnya sekarang, cerita si isteri, di luar kesedarannya, ada orang lain yang menunjukkan perhatian kepada si isteri. Isteri jujur, memberitahu bahawa dia sudah bersuami. Tetapi itu tidak menjadi hal kepada saudara tersebut. Dan bahayanya, si isteri takut, jika suami masih terus bersikap tidak acuh seperti  sediakala, si isteri bimbang, dia mungkin berubah hati. Nauzaubillah. Tetapi, hati wanita yang lembut, sensitif, mudah tersentuh, kalau di bajai dengan perhatian dan kasih sayang, akan subur juga akhirnya. 

Kata sahabat saya, si isteri cuba menyatakan masalah itu kepada suami, agar suaminya 'aware' tentang situasi itu, tetapi dia sendiri tidak pasti bagaimana. Takut di tuduh suami cuba bersikap curang, padahal niat isteri itu, dia mahu suami berubah. Si isteri tidak berniat untuk berpaling tadah, maka dia memerlukan sokongan suami untuk membantu dia, menyelamatkan dia dari terjerumus ke dalam kancah pergolakan yang tidak di redhai Allah SWT. 

Kisah ini, pada saya, sebenarnya mungkin ramai wanita yang mengalaminya, tetapi masing-masing berdiam diri sahaja. Kerana dalam Islam, jika sudah bersuami, isteri harus tetap taat dan setia hanya pada suami, suami adalah segalanya. Maka fikir saya, kerana itu ramai suami yang menganggap tidak apa-apa kalau selepas lama menikah, isteri di 'ala kadar' kan sahaja, sedangkan semasa mula-mula menikah, romantiknya bukan main!

Ramai suami yang kena belajar dari Rasulullah, bagaimana baginda mencurahkan kasih sayang pada isteri-isteri baginda. Kalau suami hendak menyatakan, isteri Rasulullah lain. Tidak ada perangai pelik-pelik. Isteri saya pelik! Entahlah, pelbagai alasan sebenarnya lagi boleh di utarakan kalau cuba memberi jawapan untuk menyelamatkan diri semata-mata. Suami lupa agaknya, wanita itu 'bengkok', kena di betulkan, kerana itu Allah memberinya seorang suami untuk membetulkan wanita itu.

Semoga Allah sentiasa merahmati rumahtangga kita semua, dan semoga Allah sentiasa memberi kita petunjuk dalam memperolehi keberkatan berumahtangga. Untuk sahabat yang di timpa musibah itu, saya doakan semoga beliau dan suami akan terus di lindungi Allah, semoga Allah menyelamatkan rumahtangga mereka. Amin...

1 comment:

  1. kc pun mendoakan kebahagian rumah tangga mereka..Alhamdulillah dgn kebahagian kita dan segala negatif yang berlaku di luar sana akan diambil sbg ingatan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...