Sunday, March 6, 2011

Nilai-nilai Islam itu ada, tetapi sayang hidayah belum bersama mereka saat ini!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, diri ini masih di beri peluang untuk meneruskan kehidupan, dan menghirup udara segar di bumiMu ini Ya Allah. Syukur! Dan sesungguhnya, semoga kita terus istiqamah dalam perjuangan Islam dan istiqamah memohon keampunan Allah atas segala kekhilafan yang telah di lakukan. Wallahua'lam.

Sesungguhnya, benarlah kata ulamak, makin jauh perjalanan makin luas pandangan, makin banyak yang kita pelajari dan makin banyak yang boleh di ambil pengajaran dan iktibar. 

Sebagai muslim sejak azali, sungguh, saya mengaku bahawa banyak yang saya pelajari nilai-nilai keislaman itu, dari tempat-tempat yang umat Islamnya adalah minoriti. Saya tidak maksudkan bahawa saya tidak belajar apapun dari negara tempat kelahiran, tetapi berada di dalam kelompok sendiri, membuat kita rasa sangat selesa, dan kadang kala, atau selalunya kita mudah lalai dan alpa apa tujuan kita berada di bumi Allah ini. 

Malah sedikit pula penghayatan Islam itu yang kita sedar. Ada ketikanya, kita rasa kita sudah cukup bagus sebagai seorang muslim; mungkin kerana masyarakat kita juga lebih kurang dengan kita. Tetapi sebenarnya masih terlalu banyak kekurangan yang kita tidak sedar atau mungkin sedar, tetapi di perlekehkan kerana budaya dan masyarakat yang tidak ambil kisah.

Semenjak saya di sini, terlalu banyak yang saya pelajari dari cara dan budaya kehidupan masyarakat Brisbane ini ( kami panggil mereka OZ). Mereka bukan muslim, tetapi banyak nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan urusan seharian mereka. Abaikan hal-hal kehidupan sosial mereka yang kita tidak boleh ikut, tetapi ada yang selayaknya kita ikuti itu, kita kena ambil, bawa balik ke tempat kita.

Minggu-minggu pertama saya jejakkan kaki ke sini, saya perhatikan banyak hal. Contoh mudah saja, tetapi amat terkesan, kalau naik bas, mereka mesti hormati pemandu bas, ucapan seperti 'Hi', 'How are you going today?' itu perkara biasa saja. Dan kalau sudah turun bas, mesti juga mengucapkan 'thank you' pada pemandu. Kalau tak di lakukan, alamat memang sah kena cop 'kurang ajar!' Tapi kalau di tempat sendiri, saya jarang-jarang atau hampir tidak ada ada, mendengarkan ucapan-ucapan sedemikian, malah mengutuk lagi ada. Tetapi, pemandu bas di sini juga sangat polite, dan agak berbeza dengan pemandu di tempat asal saya yang selalunya agak 'kasar' dalam berbahasa. 

Ucapan-ucapan ini bukan saja di dalam bas, tetapi di mana-mana saja. Di setiap kaunter supermarket, kaunter kerajaan, kaunter stesen minyak dan semuanya! Kalau saya silap maaflah, tetapi kalau di tempat asal saya, rasanya kalau berurusan di kaunter-kaunter utama kerajaan, atau pejabat pos, atau di supermarket (terutamanya)...atau di mana-mana saja, rasa saya, hampir saya tidak ingat ada atau tidak ucapan manis begini, apalagi sepatutnya kita sebagai Muslim, sepatutnya 'Assalamualaikum' itu menjadi sangat cair di mulut! Kalau dapat senyuman itu sudah kira bagus!


Tidak berniat sedikit mengutuk masyarakat sendiri tetapi saya rasa perlu ambil pengajaran, supaya kita sebagai Muslim dapat memperbaiki diri. Malu rasanya kalau-kalau di katakan, 'Oh, Is this how Muslim community greet people?'....lebih malu kalau kita dikatakan masyarakat yang sombong!

Di sini juga, kejujuran itu sangat penting. Contoh mudah, mengisi minyak petrol saja. Di tempat asal saya, mengisi petrol perlu bayar dahulu, dan baru diisi minyak. Tetapi di sini, isi dulu, baru bayar! Saya terbayang kalau di Malaysia, agaknya berapa ramai yang mengisi minyak dan terus lari tidak bayar! (sebab tiada staff yang menjaga pam minyak). Tetapi di sini, saya tidak dengar kes 'isi dan lari'! Tiada masalah langsung. Alangkah jujur mereka ini!

Kalau kena saman dengan polis, segala pembayaran adalah di kaunter pejabat pos. Malah di sini, segala pembayaran pun di pejabat pos, dan kelebihannya, tiada ruang untuk 'suap' pada pegawai yang tertentu! Satu hari, seorang kawan yang kena saman laju (telah di saman di tepi jalan) pergi ke balai polis untuk membuat pembayaran, masa itu saya pergi bersama dia. 

Di kaunter balai polis, mereka kata, polis tidak boleh terima apa-apa duit pun! (walau untuk pembayaran saman). Semuanya perlu di bayar melalui pejabat pos. Oh..fikir saya, kalau begini, susahlah mereka hendak terima 'suapan'...dan tidak pernah ada kes 'suapan' di beri di tepi jalan semasa kena saman! Alangkah! Teringat pengalaman sendiri di tempat asal saya, di tahan di tepi jalan, kerana terlebih speed, siap di tanya, 'Mahu bayar pada saya atau hendak kena saman?' Saya memang pilih saman! 

Saya bukan hendak membanggakan bangsa lain, tidak! Cuma saya hendak nyatakan bahawa, nilai-nilai Islam seperti kejujuran, sopan santun, saling percaya itu dan sebagainya, sepatutnya adalah budaya kita sebagai Muslim (ini sebenarnya bukan budaya, tetapi akhlak muslim sebenarnya, yang kita pelajari dari sekolah lagi). Tetapi silapnya, ia sekadar pelajaran di sekolah, dan sikit sekali yang mengamalkan dalam kehidupan seharian. Kerana itu, tidak hairan kenapa anak-anak muda kita, masih ramai yang tidak ambil kisah hal-hal berkaitan akhlak muslim, malah menganggap itu bukan satu kepentingan dalam hidup! Malah, yang lebih merbahaya, bukan setakat pengamalan akhlak Islam, tetapi pengamalan Ibadah khusus dan umum juga seringkali terabai atau di pandang ringan. Astaghfirullah. Dimanakah silapnya? 

Semasa saya di Seoul, Korea tahun lepas, seingat saya, kalau naik train, orang-orang muda tidak akan duduk, walau ada tempat yang kosong. Sebabnya, kata kawan saya yang berbangsa Korea, tempat duduk dianggap cuma untuk orang-orang tua dan uzur, serta ibu-ibu mengandung! Kalau orang muda yang duduk, semua mata akan memandang, dengan satu pandangan seakan hendak mengatakan, 'kamu tidak tahu hormat orang yang lebih tua kah?' Bila diingat-ingat, saya teringat pengalaman naik LRT di tempat asal saya. Aduhai...susahnya hendak melihat situasi begini, hampir tiada saya pasti, dan kerapkali saya lihat, warga tua terpaksa berdiri sedangkan ramai anak-anak muda yang duduk dengan selesa! Malunya!

Pengalaman di Istanbul memberi situasi berbeza. Mereka ini ramai yang terdiri dari Muslim. Beberapa ketika di sana, saya lihat, mereka juga seperti masyarakat saya. Dan saya selalunya seringkali terasa di kasari. Satu kisah sedih, semasa saya berada di dalam train untuk ke pusat bandar, seorang ibu yang sudah sangat tua, saya pasti dia sedang mencari ruang hendak duduk. 

Waktu itu, train memang sangat penuh, tetapi saya lihat, ramai anak-anak muda yang mendapat tempat duduk. Nenek itu, bercakap dalam bahasa Turki, kepada seorang anak gadis, mungkin pada pendapat saya, hendak memohon untuk duduk. Yang buat saya terkejut, tiba-tiba gadis itu memarahi nenek itu, malah seakan menghalau! MasyaAllah! Tiada sopan langsung! Dan ini bukan kes terpencil kerana saya setiap hari melihat pelbagai kerenah yang pada pandangan saya, ini bukan sepatutnya menjadi budaya Muslim. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini sekiranya aku juga pernah membuat kekhilafan serupa.

Sebenarnya kalau hendak di kongsi, terlalu banyak yang saya hendak ceritakan kisah-kisah saya di Brisbane, Seoul atau Istanbul, malah semasa di Surabaya (di sini saya lihat seorang pemandu teksi dengan selamba menampar muka seorang anak yang menaiki basikal di tepi jalan yang sempit; Pemandu itu merasakan anak itu menyempitkan ruang perjalanan teksinya, lalu dengan selamba, membuka cermin kereta, dan menampar muka anak itu dari dalam teksi!- Gila!!!).

Saya menyimpulkan di sini untuk diri saya sendiri, tetapi mungkin boleh difikirkan bersama-sama, di renung, di halusi, apa yang tersirat di sebalik kisah-kisah ini. Walau sedikit, tetapi boleh di ambil pengajaran. Sebagai umat Islam, kita sepatutnya yang menjadi contoh tauladan, tetapi kenapa dan mengapa, ianya tidak begitu? Saya akui, sesungguhnya ramai umat Islam yang sangat berakhlak mulia, dan mematuhi setiap ajaran Rasulullah, tetapi jangan kerana segolongan seperti ini, kita dianggap oleh orang bukan Islam sebagai tidak berakhlak!

Saya risaukan di negara sendiri, kerana ianya seakan sudah menjadi budaya, dan sebati dengan kehidupan seharian, untuk meringankan akhlak yang sepatutnya sebati dalam diri kita, sebagai Muslim dan Melayu (kerana bukankah kita mengaku kita adalah bangsa yang penuh sopan santun?) Wallahua'lam.

Tulisan ini adalah pandangan saya sahaja, kalau ada yang merasakan tidak benar, mungkin kerana pengalaman yang di lalui adalah berbeza. Maka ini bukanlah satu kesimpulan secara umum, cuma pandangan peribadi saya (Saya hendak belajar apa yang baik untuk memperbaiki diri, menjadi seorang Muslim seperti yang di gariskan dalam Islam). 

Salam dari Brisbane.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...