Tuesday, December 27, 2011

Dilema Facebook (MukaBuku)

Assalamualaikum,

Suasana bercuti, sangat lah masih terasanya. Dah seminggu lebih, berehat dari kerja-kerja Phd. Malas? Tak ada mood? Isk...Dilema sungguh. Supervisor bercuti panjang, 3 minggu. Bila 'boss' cuti, saya pun rasa nak cuti, padahal kerja berlambak-lambak menanti untuk 'touch-up'. Hemm.....nak kata cuti-cuti Australia, tak juga. Duduk rumah, tengok internet, youtube, drama melayu etc etc.....ala-ala membuang masa juga ni. Cuma sekarang, petang hari tanam pokok bunga dan sayur (aktiviti keluarga yang baru di buat lepas pindah rumah ada tanah ni). 'Enjoy' juga, berbakti pada tanah, setakat ni adalah hasilnya, capsicum dan cili dah berbuah!

Facebook. Sebut pasal facebook (FB) ramai lah yang tahu ni. Ramai juga yang ada akaun. Pada dasarnya, dalam pandangan saya, FB boleh memudaratkan kalau salah guna. Kalau guna FB untuk berdakwah saya sokong 100%! Tapi kalau guna FB untuk maksud 'lain-lain' saya tak sokong!

Thursday, December 22, 2011

Merungkai keindahan bumi Adelaide

Assalamualaikum.
Sekian lama asyik menangguh menulis dalam blog. Kalau ada masa pun, kadang-kadang terasa malas dan idea pun lambat nak keluar juga. Selebihnya tak ada masa. Nak kata sibuk dengan kerja-kerja Phd, tak ada lah 100% sesibuk itu. Saya masih ada masa untuk aktiviti lain...mungkin juga kerana saya banyak masa di rumah (sebab Phd tak ada lab work dan apa yang perlu ialah internet), maka, kalau di rumah, sambil bekerja, saya juga membuat kerja-kerja rumah seperti surirumah sepenuh masa lah juga adanya. Tapi tak apa, saya tak kisah!

Minggu lepas saya, seorang diri sahaja..:(, pergi ke Adelaide, sebuah bandar di South Australia. Kalau dari Brisbane, jaraknya dalam 2025 km kalau drive, naik flight dalam 2.5 jam! Jauh tu, biasanya kalau drive, mereka ambil masa dalam 25 jam (berterusan) atau pada kebiasaannya, para pemandu ambil 'leisure driving', iaitu 3 hari 3 malam! 

Saya naik 'flight' pergi Adelaide..:))

Tuesday, September 27, 2011

'Musim Bunga', kita bertemu kembali....

Assalamualaikum, selamat bertemu kembali setelah lama saya menyepi. "It's almost near to the peak point of this journey". Saya rasa. Dulu saya ingat lepas 'confirmation' ada masa lebih sikit nak buat perkara lain, oh tidak...jauh sekali rupanya. Betullah, Phd bukan masa makan angin, atau berpoya-poya. Kalau nak berjalan pun sekadarnya saja. Lebih-lebih lagi saya yang kena buat "Phd by publications", lebih perit, sebab kena siapkan beberapa publications untuk graduate. Saya rasa perit juga, pernah saya usulkan pada supervisor supaya saya graduate dengan "conventional thesis", tapi supervisor kata it's not a good idea.....harung sajalah, lagipun saya dah masuk semester 3, dan beberapa bulan lagi semester 4. Motivating myself is vital now!

Musim bunga datang lagi. Musim yang paling saya suka. Ini tahun kedua saya merasa musim bunga. Tapi seingat saya musim bunga yang lepas cuaca lebih sejuk. Tahun ni cuaca agak panas, tapi orang kata, "just nice". Okay juga, sebab boleh berjalan-jalan tanpa perlu berbaju sejuk! 

Kebetulan sekarang cuti sekolah, 2 weeks. Kesian pula tengok anak-anak terperap kat rumah, saya sibuk depan laptop saja. Suami pula balik Malaysia. Apa nak buat ni?

Alhamdulillah, ada beberapa rakan ajak berkonvoi ke Toowoomba, sebuah bandar di Queensland. Di sini kalau musim bunga memang menjadi tumpuan kerana "Flower Festival". Ada perarakan kalau kena harinya. Tapi kami pergi nak tengok bunga-bunga yang cantik saja. Tak minat pun dengan parade tu.


Friday, August 5, 2011

'Boncengan Gratis' dalam dunia akademik Malaysia

Salam,

Semalam saya jumpa supervisor, ada berbincang tentang publication yang saya kena tulis dalam masa terdekat. Saya kemudian ada bertanya dia tentang satu perkara yang saya musykil.

Tentang siapa yang akan di masukkan nama sebagai senarai authors? Supervisor saya kata, siapa yang menyumbang menulis saja. Kalau co-supervisor pun, jika dia tidak menyumbang, namanya tidak boleh masuk.

Hemm...ini menarik...sebab selama bertahun-tahun saya terlibat dengan dunia akademik dan publication di Malaysia, ada kala memang sangat menyakitkan hati! Pernah satu ketika dulu di Malaysia, saya di minta memasukkan satu nama yang saya tidak pernah kenal dalam senarai authors, atas alasan kerana saya menggunakan 'tempat dia' untuk study saya, dan individu itu 'orang besar' di situ......aduh! Saya sedikit terkilan, beginikah cara orang-orang tertentu naik pangkat? Dari segi etika memang dah salah, dari segi kejujuran, tentu juga, tapi yang penting di sisi Allah SWT....bagaimanakah kedudukannya?


Saya terbaca satu artikel menarik hari ni. Saya nak kongsi di sini bersama rakan-rakan senasib.Sesungguhnya apa yang di tulis dalam artikel ini memang sedang berleluasa di Malaysia, dan saya pasti ramai pelajar-pelajar yang sedang membuat master dan PhD juga pernah mengalaminya. Tetapi saya ringkaskan dari artikel asal kerana ianya terlalu panjang (mungkin penulis sangat tidak puas hati!).

Wednesday, July 27, 2011

"I am not a good muslim!"

Salaam.

MashaAllah, lama sungguh saya tidak buka blog, tidak updates dan sebagainya. Setelah beberapa bulan 'struggle' untuk 'confirmation of PhD candidature', Alhamdulillah, PRAISE BE TO ALLAH kerana telah memudahkan laluan saya untuk itu, dan sekarang saya telah 'confirm' sebagai pelajar PhD di UQ. Kalau di Australia, setiap pelajar PhD terpaksa melalui saat getir ini, yang mana selama lebih kurang setahun selepas kita mendaftar di universiti, kita kena 'present' dan tulis 'confirmation report'. kemudian, setelah panel setuju dengan project yang kita bakal lakukan, barulah kita di 'confirm'kan sebagai pelajar PhD. Kalau tidak, wallahua'lam. Macam-macam boleh jadi, sama ada balik negeri atau tukar project atau kena 'down gred' PhD ke Mphil.

University of Queensland, Australia

Bila sudah confirm, sekarang boleh apply untuk ethics approval, dan teruskan dengan data collection....semoga Allah permudahkan untuk saya, supaya saya dapat balik ke Malaysia cepat, InshaAllah.

Saturday, May 14, 2011

Memang autumn sesejuk ini ke di Brisbane?

Assalamualaikum....

Rasa seperti sudah berbulan-bulan tak update blog. Sibuk (atau menyibuk kan diri)....lebih-lebih lagi, sepanjang suami balik bercuti ke Malaysia sebulan, saya agak kelam kabut sedikit. Tapi, dengan adanya anak-anak yang memahami, rajin menolong dan ringan tulang, Alhamdulillah...tidak terasa terbeban sangat. Cuma saya perlu adjust masa, siang hari duduk study di rumah, tak pergi ke school, sebab nanti nak masak lunch, ambil anak-anak dari sekolah. Kalau ke school, jauh pula nak ulang-alik. Routine sebagai pelajar, saya mula malam sahaja. selepas waktu isyak, baru saya mulakan duduk betul-betul di meja untuk study. Kerana waktu isyak awal, seawal 6.20 pm, maka banyak juga masa dapat saya gunakan (itupun kalau tak tersadai tertidur awal..).

Alhamdulillah. Anak-anak tak banyak kerenah.
"Ummi masak je apa-apa pun, jangan susah-susah sangat". Itu yang selalu anak-anak cakap. Sedih pula saya, dari mereka kecil hingga sekarang dah masuk awal belasan tahun, begitulah selalu. Tak pandai meminta-minta, hidup seadanya. Saya yang kadang-kadang rasa bersalah pada anak-anak. 
"Ummi ni tak habis-habis lagi study..".
Setiap hari pun ummi berazam nak bagi terbaik.
"Ummi dah bagi yang terbaik" Anak-anak selalu kata begitu. Hiba nya saya.

'Kasut gebu' yang saya dan Alya pakai dalam rumah waktu ini.
Sekarang dah masuk bulan ketiga autumn. Semenjak minggu lepas, sejuknya teramat sejuk. Waktu malam terutamanya, siap pakai 3 lapis baju, tidur berselimut toto selapis, quilt selapis, setokin dan gloves. Aduh....saya tak pasti, memang autumn di sini sesejuk ini, atau tahun ini saja begini.

Wednesday, April 6, 2011

"Ummi, macamana zirafah tidur?"

Assalamualaikum,

Sudah lama tidak menulis, semenjak sibuk dengan write up report/thesis, dan semenjak kami sekeluarga asyik batuk, demam, selsema kerana perubahan cuaca, dari panas ke sejuk. Walau tidak sesejuk winter, tapi rasanya autumn ini cukup sejuk untuk kami sekeluarga yang baru tiba beberapa bulan lepas, terutama waktu malam. 

Saya sendiri sudah 2 hari demam, tapi seperti biasa, kalau orang perempuan yang berstatus ibu ini, walau demam macamana sekalipun, gagah juga bergerak, kalau tidak rasanya tidak lengkap hidup. Lagipun kalau banyak bergerak, nanti semoga peluh keluar dan cepat saja kebah demamnya.
Alya pulang dari sekolah kelmarin, bertanya satu soalan yang agak menarik, pada saya yang tidak pernah terfikir nak fikir hal itu.

"Ummi, macamana zirafah tidur? Leher dia kan panjang, kalau baring mesti susah hendak bangun kan?"
"Errr....ummi pun tak pasti Alya, nanti kita Google ye..."

Setelah meng'google', oooo....begini rupanya, dan ada juga fakta lain yang tidak tahu jadi tahu......rupa-rupanya:

1) Zirafah cuma tidur setengah jam sahaja sehari (kita boleh ke?) dan dia tidur begini (comel!)...



Tuesday, March 22, 2011

Kenapa belum berjodoh ya?

Assalamualaikum,
Hari ini sedikit panas dari semalam, pada saya untuk musim 'autumn', ini memang agak panas, 26 degree. Terasa malas nak keluar, tunggu bas, berjalan kaki...maka saya berniat untuk bekerja dari rumah saja. Jimat masa sedikit, lagipun, minggu ini saya tidak ada meeting dengan supervisor, cuma hari Jumaat saja ada seminar di school. Saya kira, menulis dirumah jimatkan masa saya naik turun bas, cuma yang pasti perlu disiplin. Kalau di rumah sibuk dengan kerja-kerja rumah, alamatnya, terbengkalai juga kerja saya.

Hari ini terasa mahu bercerita tentang jodoh. Jodoh sudah ditentukan oleh Allah, tetapi kita jangan putus harapan untuk memohon yang terbaik untuk kita. Dan untuk mendapat yang terbaik, kita perlu juga memperbaiki diri agar siap juga sebagai yang terbaik untuk jodoh kita (bagi yang belum berjodoh). Kalau sudah menikah, siapkan diri setiap waktu untuk jadi yang terbaik untuk suami, walau kita tahu pasti ada kelemahan diri di sana sini, tetapi begitu lah manusia, pasti ada lebih kurang. Dan kita juga harus siap menerima suami kita seadanya.


Ada kisah dari seorang yang saya kenal, berkenaan adik iparnya. Sahabat saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan adik iparnya. Saya pun tidak kenal siapa adik iparnya. Cuma dia mahu meminta pandangan kalau-kalau ada penyelesaian untuk masalahnya.

Sunday, March 20, 2011

Jaulah ke Byron Bay NSW merungkai keindahan alam ciptaan Allah

Assalamualaikum,
Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, yang menciptakan langit dan bumi dan segala isi di dalamnya. 
Hari ini, tidak kemana-mana, cuma pagi-pagi hari selepas siap menghantar anak-anak ke kelas KAFA dan hafazan Quran, saya dan suami ke Inala untuk membeli sedikit keperluan dapur, termasuk ayam dan daging, untuk stok simpanan 2 minggu lebih kurang, kerana kami ke sana cuma 2 kali saja sebulan.

Semalam, Sabtu, kami sekeluarga bersama keluarga sahabat kami yang tinggal di Logan, QLD, berjaulah ke Byron Bay, New South Wales, jauh letaknya lebih kurang 150 km dari Brisbane. Kami bertolak pagi, dalam pukul 7 pagi.

Sebelum ke Byron Bay, singgah dulu di Tweed Heads; sebuah tempat yang letaknya sempadan Queensland dan NSW. SubhanAllah, cantiknya tempat ni...terpegun saya. Dalam cuaca yang sejuk bersama hujan renyai-renyai, itu tidak menghalang kami singgah di situ, makan pagi, dan anak-anak sempat berlari-lari bermain sambil melihat keindahan alam ini.




Friday, March 18, 2011

Kisah isteri yang setia tetapi suami bersikap acuh tak acuh.

Assalamualaikum...

Penat baru pulang dari school. Tiba-tiba sahaja kepala terasa sakit, migrain lagi agaknya. Baru saya teringat yang saya lupa nak breakfast pagi tadi, cuma minum air. Agak saya, ini kes 'hypoglisemia' atau kekurangan gula dalam darah. kalau ini berlaku, memang akan mengakibat sakit kepala, dan dalam kes-kes yang berat, migrain jadi penyudahnya.

Setelah makan 2 biji panadol, kepala terasa ringan sedikit. Dan tiba-tiba terasa hendak berkongsi kisah benar yang saya dapat dari satu sumber beberapa ketika dulu.

Kisah seorang isteri, muslimat yang baik, setia pada suami. Hakikatnya semenjak pernikahan dan setelah mempunyai beberapa cahaya mata, isteri itu tidak pernah terfikir untuk berlaku curang atau berlaku onar pada suaminya. 

Tapi seorang isteri yang muslimah, solehah, tetap seorang wanita. Seorang wanita yang pada dasarnya ingin di sayangi dan dibelai oleh suami, dan mengharapkan suami yang menyayanginya setulus hati. Walau independent bagaimana sekalipun isteri itu, dia tetap seorang wanita. Seorang wanita itu memerlukan seorang lelaki yang menjadi teman hidup yang boleh menjaganya dan melindunginya. Juga menjadi temannya ketika suka dan dukanya, malah mengingatinya jika dia terlalai atau alpa.

Ramai lelaki, apabila hendak berkahwin, mencari calon isteri yang solehah, ala-ala berakhlak seperti isteri  Rasulullah, atau seperti Fatimah, sedangkan lelaki kadang-kadang terlupa, adakah mereka sanggup mengikut sunnah, bagaimana Rasullullah menjaga keluarganya, isteri-isterinya, anak-anaknya, atau sanggup menjadi seperti Ali yang begitu menyayangi Fatimah? Adakah seorang lelaki muslim terfikir dan berniat untuk mengikut akhlak Rasullullah dalam kehidupan rumah tangga? 


Kalau sebelum menikah, hakikatnya, mungkin akan ada yang kata, InshaAllah, saya sudah siap, sudah bersedia...Alhamdulillah...lega bakal isteri mendengarnya.....

Friday, March 11, 2011

'Berlibur' sehari satu jam menonton KCB MRI

Assalamualaikum,

Syukur ke hadrat Allah, masih di beri peluang menghirup udara segar bumi Brisbane. Semenjak dua tiga hari ni, cuaca nyaman, dan panas sudah mulai berkurangan. Alhamdulillah, cukup selesa.

Dalam kesibukan menulis tesis, saya mencari ruang satu atau dua jam sehari untuk menonton filem-filem keagamaan atau 'religi' demi mengisi masa libur/rehat, sambil juga mencari pengisian rohani.

Korek punya korek di you tube, terjumpa sinetron bersiri terbaru dari Indonesia, "Ketika Cinta Bertasbih Meraih Ridho Ilahi", yang mulanya tanggal 3 Mac 2011. Ntah berapa episod, saya tak pasti, tetapi setiap hari satu episod saya tonton, seiring dengan tayangannya di Indonesia ketika ini. Malam ini maknanya episod ke-9. 



Alamatnya, kalau dah mula, susah dah nak berhenti ni. Tapi rasanya berbaloi, sebab cuma lebih kurang satu jam lebih sehari, dan ada pengisian di dalam cerita itu. Pelbagai kupasan hadith, Al-Quran, serta kisah-kisah yang sarat dengan pengajaran dan iktibar. Saya tidak rasa membuang masa saya.

Maklumlah, semenjak tiba di Brisbane, jarang-jarang benar saya bersembang-sembang yang kadang-kadang agak membuang masa. Kalau di Malaysia, maklumlah, asal ke cafe saja, lama lah juga, lebih-lebih lagi kalau dah makan dengan kawan-kawan. Macam-macam cerita! kalau di sini, kami biasanya berjumpa hujung minggu, sama ada sambil membawa anak-anak melihat dunia Australia, atau cuma berjumpa di rumah sahabat-sahabat, bertanya khabar, berkongsi cerita tentang study saja. Maka dengan mengisi masa libur sambil menonton filem-filem yang bermanfaat, memberi kebaikan untuk diri saya juga. Banyak yang saya pelajari dari cerita-cerita sebegini untuk memperbaiki diri, InshaAllah.

Semenjak ada usrah ini, kami berjumpa untuk pengisian rohani. Alhamdulillah, sambil berjumpa, bertanya khabar, sambil itu boleh mengisi ilmu di dada, InshaAllah. Rasanya lebih bermanfaat, dari berjumpa dan bersembang tentang hal-hal yang tak berpatutan, maklumlah, kalau dah banyak cakap, takut terlalai, jadi 'termengumpat' pula. Nauzubillah!

Salam dari Brisbane.

Sunday, March 6, 2011

Nilai-nilai Islam itu ada, tetapi sayang hidayah belum bersama mereka saat ini!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, diri ini masih di beri peluang untuk meneruskan kehidupan, dan menghirup udara segar di bumiMu ini Ya Allah. Syukur! Dan sesungguhnya, semoga kita terus istiqamah dalam perjuangan Islam dan istiqamah memohon keampunan Allah atas segala kekhilafan yang telah di lakukan. Wallahua'lam.

Sesungguhnya, benarlah kata ulamak, makin jauh perjalanan makin luas pandangan, makin banyak yang kita pelajari dan makin banyak yang boleh di ambil pengajaran dan iktibar. 

Sebagai muslim sejak azali, sungguh, saya mengaku bahawa banyak yang saya pelajari nilai-nilai keislaman itu, dari tempat-tempat yang umat Islamnya adalah minoriti. Saya tidak maksudkan bahawa saya tidak belajar apapun dari negara tempat kelahiran, tetapi berada di dalam kelompok sendiri, membuat kita rasa sangat selesa, dan kadang kala, atau selalunya kita mudah lalai dan alpa apa tujuan kita berada di bumi Allah ini. 

Malah sedikit pula penghayatan Islam itu yang kita sedar. Ada ketikanya, kita rasa kita sudah cukup bagus sebagai seorang muslim; mungkin kerana masyarakat kita juga lebih kurang dengan kita. Tetapi sebenarnya masih terlalu banyak kekurangan yang kita tidak sedar atau mungkin sedar, tetapi di perlekehkan kerana budaya dan masyarakat yang tidak ambil kisah.

Semenjak saya di sini, terlalu banyak yang saya pelajari dari cara dan budaya kehidupan masyarakat Brisbane ini ( kami panggil mereka OZ). Mereka bukan muslim, tetapi banyak nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan urusan seharian mereka. Abaikan hal-hal kehidupan sosial mereka yang kita tidak boleh ikut, tetapi ada yang selayaknya kita ikuti itu, kita kena ambil, bawa balik ke tempat kita.

Minggu-minggu pertama saya jejakkan kaki ke sini, saya perhatikan banyak hal. Contoh mudah saja, tetapi amat terkesan, kalau naik bas, mereka mesti hormati pemandu bas, ucapan seperti 'Hi', 'How are you going today?' itu perkara biasa saja. Dan kalau sudah turun bas, mesti juga mengucapkan 'thank you' pada pemandu. Kalau tak di lakukan, alamat memang sah kena cop 'kurang ajar!' Tapi kalau di tempat sendiri, saya jarang-jarang atau hampir tidak ada ada, mendengarkan ucapan-ucapan sedemikian, malah mengutuk lagi ada. Tetapi, pemandu bas di sini juga sangat polite, dan agak berbeza dengan pemandu di tempat asal saya yang selalunya agak 'kasar' dalam berbahasa. 

Ucapan-ucapan ini bukan saja di dalam bas, tetapi di mana-mana saja. Di setiap kaunter supermarket, kaunter kerajaan, kaunter stesen minyak dan semuanya! Kalau saya silap maaflah, tetapi kalau di tempat asal saya, rasanya kalau berurusan di kaunter-kaunter utama kerajaan, atau pejabat pos, atau di supermarket (terutamanya)...atau di mana-mana saja, rasa saya, hampir saya tidak ingat ada atau tidak ucapan manis begini, apalagi sepatutnya kita sebagai Muslim, sepatutnya 'Assalamualaikum' itu menjadi sangat cair di mulut! Kalau dapat senyuman itu sudah kira bagus!


Tidak berniat sedikit mengutuk masyarakat sendiri tetapi saya rasa perlu ambil pengajaran, supaya kita sebagai Muslim dapat memperbaiki diri. Malu rasanya kalau-kalau di katakan, 'Oh, Is this how Muslim community greet people?'....lebih malu kalau kita dikatakan masyarakat yang sombong!

Friday, March 4, 2011

Yang di rindui akhirnya muncul, Alhamdulillah!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, masih di beri keizinan oleh Allah untuk meneruskan jari-jemari ini mencoret serba sedikit kisah hidup kami di rantau orang. Autumn baru saja bermula, hari ini dah 4 hari lah kira-kiranya. Dua hari lepas, walau musim luruh, cuaca masih sangat panas, tetapi hari ini saya kira sejuk sedikit dari sebelumnya, dalam 20-21 degree. Nyaman, dan hujan pula, maka semakin nyaman lah. Alhamdulillah.



Semester 1/2011 baru bermula. Adik-adik undergraduates yang baru, dan yang lama sudah mula mendaftar, dan masing-masing kini sibuk mencari rumah sewa. Semenjak banjir Januari lepas, agak sukar sebenarnya mendapatkan rumah sewa, lebih-lebih lagi kalau dekat dengan University, sebab banyak rumah yang sudah tenggelam banjir. Di sini, kalau sudah tenggelam, biasanya tuan rumah tidak izinkan duduk sehingga segala kerosakan sudah siap di baiki. Jadi ramai lah yang terpaksa berpindah. 

Suasana campus meriah semula, saya suka! Minggu sebelumnya, ada orientasi, dan ada pelbagai gerai di buka dalam campus UQ. Saya sempat juga singgah ke gerai Muslim Students Association-UQ (MSA-UQ), dan sempat juga ke gerai pelajar Indonesia, yang menjual pelbagai masakan dari negara asal itu. Sedap, dan yang paling saya suka, 'Pisang Goreng kering' - saya translate dari "Dried fried banana"...betul ke tidak? Ntah lah, tapi yang pasti, memang sedap. Rugi betul belinya satu paket saja, sekarang tak tau mana nak cari lagi....nampak gaya kena tanya sahabat saya dari Indonesia kalau dia tahu.

Thursday, February 17, 2011

Bersyukurlah kita adalah muslim!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dua hari lepas penuh dengan keletihan, di tambah lagi dengan diarrhea, memang sangat melemahkan diri, tapi hari ni, saya boleh gagahkan diri untuk pergi ke school. Ada RHD Day hari ni, dan semasa di sana, banyak tips yang diperolehi, dari bagaimana nak mula thesis, mencari data, menulis thesis, malah cara nak menyusun masa sebagai pelajar PhD dan juga bagaimana nak menangani ketidakcukupan waktu...

Oleh kerana waktu mendaftar tersangat awal; 8.20 am di school, dan bas pertama di depan rumah 7.34 am, dan saya harus berkejar untuk bas kedua di St Lucia pada pukul 8.00 am. Tapi, tak ada rezeki kami hari, saya dan seorang sahabat terpaksa menapak ke tempat menunggu bas yang agak jauh kerana sudah terlepas yang pagi, dan sampai di situ, juga terlepas bas 7.44 am, maka terpaksa kami menaiki bas 7.55 am. Dah sah memang tak sempat dengan bas kedua. 

Sampai di St Lucia, kami menapak lagi ke Woolloonggaba, agak jauh (25 minit perjalanan dengan kaki). Dan saya yang masih tak berapa sihat, terasa berpinar-pinar, tapi gagahkan juga kaki menapak. Alhamdulillah, sampai juga kami, walau terlewat 10 minit, dan program dah bermula tepat jam 8.20 am tadi. Mat saleh ni memang tepat waktu, kalau kata 8.20 am, maka waktu itulah, tak ada cepat dan lambat. Terasa malu juga sebab masuk ke dewan lambat 10 minit, tapi buat tebal muka.

Wednesday, February 16, 2011

"Ketika Cinta Bertasbih"

Assalamualaikum,

SubhanAllah...rasanya dah lama sangat saya tak menyempatkan diri menulis blog. Semenjak beberapa minggu lepas, banyak masa yang saya gunakan untuk menulis 'confirmation report', memandangkan dah dekat benar waktu untuk confirmation saya. Gementar, berdebar, resah dan pelbagai rasa ada.

Tambahan lagi, semenjak suami mula masuk kelas di UQ January lepas, terasa sedikit patah tangan dan kaki. Selalu suami ada di rumah sepanjang masa, tapi sekarang suami dah sibuk dengan kelasnya, saya sedikit kelam kabut. Tapi tak apa sebenarnya, bila kekurangan dan kesempitan masa tu, tahu pulak saya mencari masa, sebaliknya kalau ada banyak masa, keinginan membuang masa itu sangat tinggi. 

Beberapa hari yang lepas, dalam keadaan sedikit tertekan menulis report/thesis, saya sempat melayan satu cerita di youtube. "Ketika Cinta Bertasbih, Special Ramadhan". Sebenarnya cerita ini adalah sambungan dari filem KCB1 dan KCB2. kedua-duanya saya dah tengok beberapa kali. Tak pernah jemu menonton filem ni.


Bila dah terjumpa pula yang bersiri, semuanya 56 series, apa lagi, melonjak-lonjak keinginan hati nak tengok, padahal sebenarnya masa tu sempit benar, tapi sebab berkeinginan sangat nak tahu tentang kesinambungan kisah mereka, saya tengok juga. Mencuri-curi masa di antara waktu menulis. Semangat betul!

Friday, January 28, 2011

Lahir Muslim, Biar hidup muslim, mati pun muslim!

(Petikan Khutbah Jumaat - dari Saifulislam.com) 
 
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" - [Surah al-An'aam 6: 162-3]

Kita semua bersetuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi doktor tanpa ilmu dan latihan yang secukupnya. Dia perlu belajar dan belajar, memahami sepenuhnya tentang tugas yang digalas kerana risikonya adalah keselamatan dan nyawa pesakit.  
Kita semua setuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi jurutera awam tanpa ilmu dan latihan yang diperlukan. Tanpa kelengkapan itu, risikonya boleh meretakkan jambatan, merosakkan lebuh raya dan meruntuhkan bangunan.
Semua itu perlu kepada ilmu.

Tetapi bagaimana dengan seorang ibu dan bapa?

Pentingkah untuk seseorang yang menjadi ibu, khususnya bapa, untuk dirinya mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk menjalankan tugasnya? Subjeknya bukan jambatan atau bangunan. 

Subjeknya bukan pesakit yang tidak dikenali atau mayat yang sudah tidak boleh diselamatkan. Subjeknya adalah zuriat kita sendiri. Anak yang berbinkan nama kita. Anak yang akan dipersoalkan oleh Allah di Mahsyar nanti, sama ada kita telah melunaskan tanggungjawab dengan sebaiknya, atau kita gagal dalam menjalankan tugasan yang amat besar ini.

"Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan" - [Surah at-Tahrim 66: 6]

Risikonya bukan jambatan runtuh. Bukan bangunan retak. Risikonya bukan setakat kecederaan dan kematian orang yang tiada kena mengena dengan kita. Malah risikonya lebih besar.

Monday, January 17, 2011

Bencana banjir besar di Brisbane mengajar erti kesusahan dan ukhuwwah

Salam,

Keadaan sekarang baru saja lepas dari bencana banjir besar di sini, Brisbane. Sungguh tak sangka hujan yang berterusan selama dua bulan ini, akibatnya amat dasyat dan menyedihkan. Fizikal dan mental, kedua-duanya affected. Seribu satu kesedihan dan kegusaran.

Hari Selasa 11/1/2011, tarikh keramat yang mana air hujan mula berkumpul, dan di kawasan tempat kediaman kami ni, air dah mula naik di Perrin Park dan di Jalan masuk ke tempat perumahan. Petang tu, saya, suami dan anak-anak ke Perrin Park, nak tengok park yang bertukar jadi 'lake'. Tapi, masa tu sungguh saya ingat air tu akan cuma berada di situ dan tak melarat ke mana-mana.

Perrin Park dah jadi Perrin 'Lake'

Anak-anak tengok air yang bertakung
Pagi 12/1/2011, kami bangun pagi seperti biasa. Breakfast, dan hari nampak cerah, dan saya agak maybe air di park dah surut. Saya call sahabat satu school lepas breakfast tu.

Sunday, January 9, 2011

Cabaran mendidik anak di luar negara, saya masih mencari rentak!

Assalamualaikum.

Sekolah masih cuti. Anak-anak masih di rumah dengan kami. Hari hujan setiap hari, saya suka panggil musim sekarang 'wet summer'...Hemm...agak sukar nak ke mana-mana kecuali sanggup berbasah-basah sedikit atau kadang-kadang banyak (tengoklah tahap kelebatan hujan).

Semenjak berada di Brisbane, anak-anak setakat ni Alhamdulillah. Tak ada masalah bab solat, mengaji. Mengaji di rumah saja. Yang lelaki dua orang tu InshaAllah dah boleh baca, cuma ditegur-tegur kalau ada salah. Yang kecik, perempuan tu, kadang-kadang kami ajar, kadang-kadang abang yang sulung tengokkan. Yang sulung lebih pandai tajwid sebenarnya dari kami. Syukur.

Tahun 2011 ni, yang sulung akan ke high school. Biasalah, sekolah dengan anak-anak mat saleh ni. Cuma sekarang kami nak kena tanamkan dalam diri dia, kita muslim, tak sama dengan mereka. Kita ada pegangan agama. Dan kami kena selalu memantau anak-anak ini supaya tetap berada di landasan Islam yang benar. Cabaran pasti ada. Anak-anak awal remaja pulak katakan. Cuma harapan kami, semoga dia boleh menepis segala cabaran yang datang.

High School dekat dengan rumah kami

Syukur di sekolah dia ada pelajar-pelajar muslim lain juga, kebanyakan dari bangsa Arab. Agak ramai juga. Melayu saya tak pasti ada ke tidak. Dan setahu saya pihak sekolah memang ada sediakan surau kecil untuk solat zohor di sekolah. Itu pun dah syukur banyak. Alhamdulillah. Dan anak saya juga gembira bila dengar ada surau di sekolah, sebab dia memang tak suka tinggal solat, setakat ni saya syukur pada Allah kerana anak-anak memang tak perlu di suruh atau di paksa-paksa untuk solat. Malah selalunya kalau ke mana-mana, yang paling mereka beringat sekali ialah waktu solat. Dah masuk ke belum, mana nak solat dan sebagainya. Takut ummi dan abah terlalai.

Semasa tamat sekolah rendah hari tu, sekolah ada buat majlis graduation. Ok lah, bagi-bagi sijil, anugerah dan sebagainya. Ibu bapa dijemput hadir. Kami pun hadir juga masa tu. Selepas majlis tu, mereka ada lah sediakan makan-makan, tapi kami tak makanlah. Rasanya memang tak halal. Tak kisah lah bab tak makan tu. Tapi lepas makan, nak dibuat pulak majlis tari-menari...aduhai...masa tu kami ajak anak balik rumah bersama kami terus.
Dan Alhamdulillah, masa tu anak saya pun memang mencari peluang nak balik bersama kami. Dalam kesesakan orang ramai, tak ada sesiapa pun yang perasan kami dah balik. 

Graduation Night yang dibuat di salah satu College University of Queensland

Monday, January 3, 2011

Jumaat di masjid Darra

Assalamualaikum.

Sekolah masih bercuti, masih ada lebih kurang 3 minggu lagi sebelum anak-anak masuk sekolah balik. Belum buat apa-apa persediaan, rasa masih awal. Kawan-kawan di Malaysia dah sibuk dengan anak-anak masuk sekolah dah hari ni.

Biasanya kalau anak-anak sekolah, suami akan ambil anak-anak dari sekolah dalam pukul 12.45pm untuk bawa ke tempat solat Jumaat. Biasanya mereka solat Jumaat di sebuah dewan besar, di Multi Faith Centre di University of Queensland. Itulah tempat paling dekat dengan rumah dan sekolah anak-anak. Sebab lepas solat nak kena hantar anak-anak balik ke sekolah semula, jadi tak boleh nak solat jauh-jauh sangat, nanti terlambat.

University of Queensland, St Lucia
Pintu masuk ke Multi Faith Centre UQ

SignBoard Multi Faith Centre
Sebab sekarang cuti sekolah, saya cadangkan pada suami, cuba ubah angin sikit, pergi solat ke masjid yang paling dekat. Lagipun bukannya nak rushing ke mana lepas solat tu. Sekurang-kurangnya dapat tengok tempat baru, dapat pengalaman baru dan dapat jumpa ahli jemaah masjid yang baru.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...